Panduan yang saya kongsikan ini adalah secara umum mengenai proses proses pelaburan tanah di negeri negeri dalam Malaysia. Ada negeri yang mempunyai keperluan dan syarat yang berbeza sedikit daripada negeri lain. Antara proses prosesnya ialah :-
1) Mencari tanah pertanian yang sesuai sama ada terletak di kawasan bandar atau luar bandar dan yang penting, tanah kalau boleh tidak ditenggelami air, mempunyai akses kepada bekalan air dan elektrik serta mempunyai rizab jalan.
2) Setelah tanah dikenalpasti, harga dirunding beserta kaedah bayaran. Sebelum pembelian dibuat, potensi tanah untuk dibangunkan serta kos kos lain yang terlibat perlu diperhalusi untuk mengelakkan proses pemajuan tergendala.
3) Apabila pembelian sudah dilakukan, tanah itu perlu diproses untuk ubah syarat kepada bangunan serta pecah lot serentak. Proses ini biasanya akan mengambil masa dan belanja yang agak tinggi. Masa biasanya antara 8 bulan sehingga 24 bulan bergantung kepada kelulusan di pejabat tanah.
4) Setelah kelulusan diperolehi, bayaran premium dan proses untuk pengeluaran geran asingan perlu dilakukan. Apabila semua selesai, geran dah dapat barulah proses jualan dan pindah milik boleh dilakukan samada kepada syarikat atau individu.
Apa yang perlu anda ingat adalah, sekiranya anda menangguhkan keputusan untuk membeli tanah pada suatu masa yang akan datang, harganya pasti sudah berbeza. Jangan tunggu untuk beli tanah, tapi beli tanah dan tunggu akan kenaikkannya.