PANDUAN MEMBELI TANAH

1) Jangan terburu buru untuk membeli tanah, pelajari dan bandingkan harga tanah tersebut dengan harga tanah yang lain.

2) Jangan membeli tanah dari orang tengah kerana biasanya mereka meletak harga yang tinggi. Kalau boleh carilah tuan tanah sendiri yang ingin menjual tanah kerana harganya pasti lebih murah.

3) Elakkan menggunakan ejen hartanah tidak berlesen / broker.

4) Cari tanah dengan posisi yang strategik seperti dekat dengan sekolah atau pasar dan di tepi jalan besar.

5) Semak dahulu geran dan tengok lokasi tanah. Pastikan nombor PT, lot dan lain-lain perkara pada geran sama dengan lokasi tanah.

6) Periksa kelengkapan geran tanah tersebut adakah ia milik perseorangan atau milik berkumpulan. Jika penama terlalu ramai, maka prosesnya mungkin rumit sedikit.

7) Periksa dengan pejabat tanah masing-masing adakah penama dan tanah tersebut benar-benar wujud agar kita tidak tertipu.

8) Jika menggunakan agen pastikan anda minta nombor telefon tuan tanah dan lebih baik berjumpa dengan tuan tanah.

9) Semak kad pengenalan tuan tanah dan pastikan ianya sama seperti dalam geran.

10) Pilih tanah yang tidak mempunyai apa-apa sekatan. Perkataan ini biasanya tertulis pada geran. Jika ada sekatan, prosedurnya akan menjadi rumit. Jadi kalau ada sekatan, tolong tolak awal-awal agar ia tidak menyusahkan kita dan akan melambatkan proses pembinaan rumah.

11) Buat perjanjian jual beli dan pastikan matikan setem untuk menjaga kedua-dua pihak. Anda tak perlu ke pejabat lawyer cukup sekadar tulisan tangan (lebih baik taip) dan kedua-dua pihak memahami dan setuju terma dan syarat. Tetapi seeloknya berurusanlah melalui pihak guaman.

Tidak terdapat spesifik masa dalam membeli tanah untuk peribadi mahupun pelaburan. Tanah merupakan aset yang nyata dimana kita boleh lihat, pegang, membuat pembaharuan dan pelbagai lagi projek diatas sekeping tanah tersebut. Tanah merupakan satu pelaburan yang unik berbanding pelaburan lain kerana kuasa untuk menentukan harga tanah tersebut terletak kepada penjual dan tiada harga siling.

Jangan tunggu untuk memiliki tanah tetapi beli dulu dan baru tunggu kenaikkan nilainya.

 

12575839_1213702711977700_368421634_n

PANDUAN PROSES PEMBANGUNAN & PELABURAN TANAH

Panduan yang saya kongsikan ini adalah secara umum mengenai proses proses pelaburan tanah di negeri negeri dalam Malaysia. Ada negeri yang mempunyai keperluan dan syarat yang berbeza sedikit daripada negeri lain. Antara proses prosesnya ialah :-

1) Mencari tanah pertanian yang sesuai sama ada terletak di kawasan bandar atau luar bandar dan yang penting, tanah kalau boleh tidak ditenggelami air, mempunyai akses kepada bekalan air dan elektrik serta mempunyai rizab jalan.

2) Setelah tanah dikenalpasti, harga dirunding beserta kaedah bayaran. Sebelum pembelian dibuat, potensi tanah untuk dibangunkan serta kos kos lain yang terlibat perlu diperhalusi untuk mengelakkan proses pemajuan tergendala.

3) Apabila pembelian sudah dilakukan, tanah itu perlu diproses untuk ubah syarat kepada bangunan serta pecah lot serentak. Proses ini biasanya akan mengambil masa dan belanja yang agak tinggi. Masa biasanya antara 8 bulan sehingga 24 bulan bergantung kepada kelulusan di pejabat tanah.

4) Setelah kelulusan diperolehi, bayaran premium dan proses untuk pengeluaran geran asingan perlu dilakukan. Apabila semua selesai, geran dah dapat barulah proses jualan dan pindah milik boleh dilakukan samada kepada syarikat atau individu.

Apa yang perlu anda ingat adalah, sekiranya anda menangguhkan keputusan untuk membeli tanah pada suatu masa yang akan datang, harganya pasti sudah berbeza. Jangan tunggu untuk beli tanah, tapi beli tanah dan tunggu akan kenaikkannya.