Jika anda merancang untuk membina sebuah banglo, ada beberapa perkara yang melibatkan kos-kos yang perlu dikeluarkan sama ada ketika pra atau semasa tempoh pembinaan. Kos ini kebiasaan tidak ditanggung mahupun diserap oleh kontraktor (melainkan jika dinyatakan mereka).
Kami akan senaraikan kos yang terlibat dalam pembinaan sebuah rumah dan ada diantaranya boleh dimasukkan dalam pinjaman (jika ada lebihan pinjaman atau ia sememangnya dinilai oleh penilai ketika pinjaman diproses).
1) Pelan Rumah
- Pelan rumah kebiasaannya bergantung pada saiz rumah tersebut
- Walaupun anda memilih pelan yang sudah siap, wang masih perlu dibayar bagi mendapatkan cop arkitek (hanya pelan dicop arkitek diluluskan oleh Majlis Daerah kelak). Kebiasaannya cajnya adalah sekitar RM 1.00 sekaki persegi termasuk cop arkitek.
2) Pelan Besi (RC pelan)
- Ada sesetengah kontraktor sudah dipakejkan sekali didalam harga pelan rumah (kebiasaan begitu). Pelan besi ini juga perlu dibayar bagi mendapatkan cop jurutera awam berdaftar.
- Harganya adalah sekitar RM 0.50 sekaki persegi termasuk cop jurutera.
3) Majlis Daerah
- Apabila pelan sudah siap dan dicop arkitek, maka pelan ini perlu dihantar ke Majlis Daerah tersebut. Kos Majlis Daerah adalah sangat subjektif kepada kawasan, keluasan rumah, ruang akses jalan & lain-lain faktor. Lain Majlis Daerah lain caj yang dikenakan.
4) Deposit utiliti bagi elektrik (TNB) dan air
- Apabila rumah hampir siap, permohonan bekalan elektrik akan dibuat oleh kontraktor kepada TNB dan juga syarikat pembekalan air. Istilah deposit utiliti ini adalah seperti caj penggunaan elektrik/air kerana nilainya akan dimasukkan dalam bil utiliti anda.
Kosnya adalah seperti berikut :-
a) Elektrik
(Pendawaian Single Phase)
- Bagi rumah setingkat RM 700, bagi rumah 2 tingkat RM 1100
(Pendawaian 3 phase)
- Bagi rumah setingkat RM 1200, bagi rumah 2 tingkat RM 1600
b) Air
- Cajnya bergantung pada syarikat bekalan air di negeri tersebut
5) Tambahan tiang elektrik
- Untuk pengetahuan anda, jika lokasi rumah anda perlu disambung dengan tiang elektrik terdekat yang jaraknya 3 tiang elektrik ke bawah, maka tiang ini percuma sahaja
- Tetapi jika lokasi rumah anda memerlukan sambungan lebih daripada 3 batang tiang elektrik, maka TNB mengenakan caj RM 200 setiap batang tiang elektrik bagi tiang elektrik ke-4 dan ke atas.
Sebagai contoh : 5 batang tiang elektrik diperlukan bagi menyambung elektrik dari rumah ke kawasan tiang elektrik terdekat.
Kiraannya : 3 batang tiang elektrik adalah percuma. 2 batang tiang elektrik lagi perlu dibayar dengan jumlah RM 400.
6) Enjin Air
- Untuk rumah yang menggunakan bekalan air dari bawah tanah seperti di Langkawi, kos enjin air bagi menyedut air bawah tanah adalah dibawah tanggungan pembeli.
7) Lampu, kipas, lampu pagar & lain-lain
- Dalam mana-mana spesifikasi rumah kontraktor, lampu serta kipas tidak disertakan. Kebiasaannya, yang diberikan adalah point bagi lampu dan kipas. Pembelian lampu dan kipas adalah dibawah tanggungan pembeli. Jika ada lebihan pinjaman (loan) atau ia dinilai dalam pinjaman, anda boleh gunakannya bagi menampung kos ini.
8) Pemasangan paip dengan tebuk jalan
- Kebiasaannya, untuk memasang paip air ke sambungan paip kerajaan terdekat, kontraktor akan menanggung penyambungan paip yang tidak melebihi 100 kaki jauh (segulung paip)
Jika rumah anda terletak jauh dari sambungan paip air kerajaan (melebihi 100 kaki), biasanya caj tambahan akan dikenakan.
Dan paling penting, ia tidak melibatkan tebuk jalan. Walaupun tanggungan kontraktor adalah sekitar 100 kaki, jika sambungan itu memerlukan jalan ditebuk disebabkan paip air kerajaan berada di seberang jalan, caj tambahan akan dikenakan bagi menampung kos tebuk dan tampal kembali jalan tersebut.
9) Infrastruktur Jalan Tar & Longkang
- Bagi sesetengah Majlis Daerah di Langkawi telah mewajibkan hadapan tanah bagi tanah yang dipecah lot untuk diturap dengan jalan tar dan dipasang longkang V (saiz 1 kaki kedalaman) sebagai syarat kelulusan pelan rumah
- Ini bermaksud ia wajib dibuat bagi syarat mendapatkan CF (Sijil Layak Duduk/SKD) kemudian hari. Kos untuk penurapan jalan tar dan pemasangan longkang V adalah subjektif, ini kerana ia bergantung pada saiz hadapan tanah anda.
- Jika tanah anda terletak di corner lot, kos akan lebih tinggi kerana ia perlu diturap di hadapan dan sisi tanah anda.
10) Yuran Guaman
- Yuran guaman pula bergantung pada harga & nilai pinjaman anda. Lagi mahal harga rumah dan nilai pinjaman yang diperolehi, maka lagi tinggi caj guaman.
11) Yuran Penilai (untuk loan bank sahaja)
- Bergantung pada pakej pinjaman bank. Kebiasaannya, yuran nilaian oleh penilai swasta tidak ditanggung dalam pakej pinjaman. Ini bermaksud, pembeli perlu membayar yuran yang dikenakan oleh penilai.
12) Duti Setem Pindah Milik & Gadaian
- Duti setem pula terbahagi kepada 2 iaitu duti setem pindah milik dan duti setem gadaian.
- Bagi anda yang membeli rumah atau tanah dari orang lain, anda akan dikenakan duti setem pindah milik (tukar nama pemilik asal kepada nama anda) dan juga duti setem gadaian (jika pinjaman rumah dibuat)
- Duti setem bagi pindah milik adalah 1% dari nilaian harga rumah/tanah tersebut. Ini dibayar ke LHDN. (Kalau tanah sendiri, anda tidak dikenakan duti setem pindah milik)
- Selepas itu anda akan dikenakan caj pendaftaran untuk pindah milik di pejabat tanah pula. Nilainya juga bergantung pada harga rumah/tanah. Kebiasaan hanya beberapa ratus ringgit sahaja.
- Kemudian, anda akan dikenakan pula caj pendaftaran bagi gadaian (jika anda mengambil loan) di pejabat tanah. Harga caj pendaftaran gadaian bagi pinjaman kerajaan dan bank adalah berbeza serta berpandukan dengan nilai hartanah tersebut. Kebiasaan cajnya pun beberapa ratus ringgit.
- Bagi pinjaman bank pula, anda ada satu lagi duti setem atas perjanjian iaitu dibayar kepada LHDN. Duti setem ini berjumlah 0.5% x jumlah pinjaman.
- Walaupun nampak begitu banyak duti setem dikenakan, berita baiknya untuk pinjaman pertama perumahan (tidak kira pinjaman kerajaan atau bank) kerajaan memberikan diskaun 50% atas duti setem yang dikenakan.
* Dapatkan sebut harga mengenai pembinaan rumah dan renovasi secara percuma daripada kami.
HUBUNGI EN. HAN : 012-5684713