TIPS PENTING BAGI ANDA YANG BERCITA-CITA UNTUK BINA RUMAH SENDIRI

Kelebihan yang kita dapat kalau bina rumah sendiri ni adalah dari segi kos wang ringgit yang boleh dikurangkan berbanding kita serahkan bulat bulat kat kontraktor untuk kita bina rumah idaman rumah kita.

Lagi satu kita boleh pilih sendiri bahan binaan yang baik dan berkualiti.

7 Tips Penting Bagi Yang Nak Bina Sendiri Rumah Idaman

1. Geran Tanah Rumah Milik Anda

  • Mula-mula sekali pastikan geran tanah kat mana korang nak bina rumah tu sudah pun ditukar milik kepada nama anda jika tanah tersebut tanah pusaka atau tanah yang anda beli sendiri.

2. Upah Arkitek Yang Kreatif

Upah arkitek yang boleh dipercayai untuk merekabentuk rumah idaman anda. Pastikan berlaku komunikasi 2 hala yang baik antara anda dan pihak arkitek. Jelaskan kepada arkitek secara terperinci apa yang anda mahukan untuk rumah idaman anda itu nanti. Antara perkara biasa yang perlu diperhatikan ialah :-

  • Jumlah bilik dan tandas, kedudukan setiap ruang contohnya kat mana master bedroom, kat mana nak letak dapur, kat mana nak letak ruang tamu 1, ruang tamu 2 dan juga keluasan setiap ruang juga perlu diambil kira.
  • Jenis atap yang anda inginkan. Minta arkitek cadangkan beberapa jenis atap yang ada di pasaran. Pastikan juga arkitek merekabentuk atap yang cantik dan mengikut trend perumahan masa kini.
  • Jenis frame tingkap dan material tingkap. Ada banyak jenis dari yang murah hinggalah ke mahal. Juga jenis tingkap samada tingkap labuh atau saiz biasa. Untuk trend semasa, ramai yang menggunakan tingkap jenis labuh
  • Susun atur dalam tandas. Kat mana letak sinki, kat mana shower head dan kat mana mangkuk tandas
  • Jumlah point untuk lampu, kipas, suis dan soket

Biasanya pihak arkitek akan menyediakan beberapa jenis lukisan seperti lukisan arkitek, lukisan struktur (besi), lukisan elektrikal (lampu, kipas dll) dan mekanikal (paip air bersih, paip najis dll).

3. Harga Upah Tukang Yang Rasional Dan Tidak Terlalu Mahal

  • Jika boleh, lakukan sedikit survey bagi mengetahui harga upah tukang buat rumah. Harga upah membina rumah setingkat dan dua tingkat adalah berbeza. Bergantung kepada tukang berapa upah yang diminta. INGAT ! Jumlah harga upah bina rumah biasanya akan dikira dari tiang ke tiang bukannya bergantung kepada luas lantai. Pilih tukang yang ada testimoni kerja yang bagus dan harga yang tidak mahal.

4. Perjanjian Antara Pemilik Dan Tukang Rumah

  • Buat satu perjanjian bertulis dengan tukang rumah yang dilantik. Perjanjian yang sah dari segi undang-undang hendaklah dimatikan dengan setem hasil yang korang boleh beli kat LHDN. Di dalam surat perjanjian tersebut, jangan lupa nyatakan berapa kadar upah yang telah dipersetujui beserta jumlah keluasan yang akan dibina. Nyatakan juga kos-kos lain yang mungkin akan terlibat sepanjang pembinaan seperti kos menyewa crane, kos menyewa lori, kos menyewa mixer, kos paku dan peralatan kecil yang diminta oleh tukang.
  • Sekiranya kos terbabit ditanggung oleh pemilik, maka tulis lah didalam perjanjian itu yang kos-kos sebegitu adalah atas tanggungan pemilik. Jika ditanggung oleh tukang, maka nyatakan ia ditanggung oleh tukang. Jangan hanya membuat perjanjian mulut. Perjanjian mulut biasanya nanti pasti akan menimbulkan masalah.

IMG-20151210-WA0064

( Contoh perjanjian antara kontraktor dan tuan rumah )

5. Sediakan Buku Catatan Perbelanjaan

  • Walaupun rumah yang dibina adalah rumah anda dan anda jugalah kontraktornya, sebaiknya catatkan segala perbelanjaan yang terlibat. Seeloknya, sediakan 2 buah buku. Buku pertama untuk catitan perbelanjaan membina rumah seawal kos menyediakan pelan, kos bayaran kepada majlis, kos bayaran kepada TNB untuk penyambungan api. Buku kedua adalah catitan bayaran kepada tukang-tukang rumah yang terlibat.
  • Untuk pengetahuan korang, dalam membuat sebiji rumah korang kena bekerja dengan lebih dari sorang tukang. Tukang buat rumah biasanya hanya melakukan kerja-kerja pembinaan, mengikat bata dan plaster dinding. Kerja-kerja lain seperti kerja perpaipan (kena masuk sekali dengan dengan pembinaan), kerja wiring untuk lampu, suis, soket dll, kerja mozek, kerja memasang atap, kerja mengecat dan kerja menanam rumput dan juga kerja memasang grill memerlukan tukang mahir yang lain.

6. Membayar Upah Mengikut Progress Kerja

  • Seringkali terjadi tukang rumah lari, kerja tak siap, upah dah dibayar habis. Bila dah terjadi macam ni apa lagi yang boleh kita buat melainkan menyesal tak sudah. So elakkan perkara sebegini terjadi kepada anda. Ambil pengajaran daripada kejadian yang berlaku kat kawan kita , yang berlaku kat jiran kita mahupun yang berlaku kat keluarga kita.
  • Jadi di awal-awal perjanjian pastikan anda bagitahu tukang yang anda akan menahan wang mereka sekurang-kurangnya sebanyak 5%. 5% ini adalah jaminan kerja dilaksanakan sehingga siap.
  • Setelah itu pastikan anda membayar tukang pada hari yang sama setiap minggu. Buat penilaian sendiri berapa peratus kerja yang sudah disiapkan. Dari situ anda perlu membuat kira-kira agak-agak berapa jumlah yang boleh dibayar pada minggu tersebut. Biasanya tukang pasti akan meminta bayaran melebihi kerja yang sudah disiapkan. Pastikan anda membayar kurang daripada apa yang diminta. Tapi janganlah terlalu sedikit sehingga menyusahkan tukang. Ok ?
  • Jangan lupa meminta tukang menurunkan tandatangan setiap kali pembayaran dibuat. Catit berapa upah yang kita bayar, kemudian minta tukang cek dan jika betul amaunnya barulah sign. Kalau boleh update kat tukang berapa lagi baki duit dorang yang ada pada korang.

7. Order Bahan Binaan Secara Bijak

  • Bahan binaan biasanya akan sampai lambat jika order time raya cina. Kebanyakan supplier adalah orang cina. So, dorang biasanya akan cuti lama dalam 2 minggu. Cek status kerja ditapak bina rumah anda, apa bahan binaan yang diperlukan segera dan order cepat sebelum raya cina.
  • Untuk atap dan mozek, korang boleh ja order awal. Sebab pembekal biasanya tak akan hantar bahan bahan tu kalau tak perlu lagi. So, better order awal, kalau tak progress kerja boleh terbantut sebab kalau takda atap, tukang tak boleh teruskan pada kerja-kerja plaster dinding. Kalau takda atap, siling tak boleh masuk kerja. So, atap adalah elemen yang sangat penting dalam membina rumah. Banyak kerja yang akan terbengkalai kalau atap tak setel.
  • Bahan binaan seperti pasir, batu bata dan simen bukanlah bahan yang perlu diorder terlalu awal. Sebab bahan-bahan ini banyak ja dijual dan mudah didapati. Kalau harini habis, esok dah boleh dapat. So, order ikut keperluan kerja.